Sunday, July 20, 2008

Artikel 3

'Sains Sukan Kawan Rapat Atlet'


Boleh dikatakan banyak juga kejayaan telah dicapai oleh ahli sukan negara kita sejak kebelakangan ini tetapi secara umumnya aplikasi sains sukan masih lagi rendah dan berada di takuk lama walaupun kursus-kursus sains sukan diadakan dari semasa ke semasa. Jika kaedah sains sukan ini dapat digunakan secara meluas, kita pasti kejayaan ahli sukan negara di peringkat dunia mampu diperoleh dengan lebih kerap lagi.


Kalau hendak dibuat perbandingan akan aplikasi sains sukan antara negara ini dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan Great Britain, kita sebenarnya telah jauh tertinggal lebih daripada 30 tahun. Walaupun begitu, ini bukan bermakna kita hanya sekadar duduk diam tanpa berbuat sesuatu yang konkrit mengikut jejak negara-negara yang berjaya dalam sukan. Masih belum terlambat untuk kita berbuat sesuatu untuk memajukan sukan negara dengan menggunakan kaedah sains sukan dan pengetahuan spesifik. Itu sahaja caranya untuk kita maju ke hadapan dalam dunia sukan kerana terbukti sains sukan banyak membantu ahli sukan meraih kejayaan berterusan.


Apabila Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh mahukan lebih banyak elemen sains sukan diterapkan oleh jurulatih dalam latihan badminton, ini merupakan satu saranan positif dan berpandangan jauh bagi mengukuhkan lagi pencapaian pemain untuk lebih kerap keluar sebagai juara dunia. Penulis melihat Nadzmi hendak menjadikan sains sukan sebagai kawan rapat numero uno (nombor satu) kepada para pemain badminton. Saranan ini bukan sahaja ditujukan kepada BAM untuk tindakan, bahkan ia dimaksudkan diterapkan sehingga ke akar umbi persatuan badminton dan persatuan sukan lain di peringkat daerah dan negeri.


Apabila pengetahuan sains sukan dapat diperluaskan ke semua peringkat secara berterusan (Kaizen) maka tidak secara langsung akan berlakulah elemen pembelajaran dalam organisasi itu sendiri. Idea, kemahuan dan keberanian untuk merubah kepada sesuatu yang baru dalam kaedah latihan perlu diterapkan bagi memastikan kejayaan sukan boleh dicapai dengan lebih cepat dan berkesan. Oleh itu, perubahan minda secara menyeluruh kepada pendekatan sains sukan di kalangan pegawai dan pemain adalah penting dan harus dipastikan ia diterima secara jujur dan terbuka sebelum peringkat pelaksanaan boleh dilakukan.


Cadangan mewujudkan tanda aras prestasi (KPI) untuk jurulatih adalah sesuatu yang baik dalam konteks menilai dan mengawal selia prestasi seseorang jurulatih. Kalau tidak akan terpacak jurulatih yang sama tanpa kejayaan dilantik tahun demi tahun. Ini sebenarnya yang berlaku di sesetengah-sesetengah persatuan sukan di negara ini apabila ada jurulatih yang tergolong dalam kelompok yang diperkatakan. Sebab itu ia menjadi masalah tertunggak dan beban atau defisit kepada perkembangan sukan dalam sesebuah persatuan sukan.


Utusan Malaysia,
Jumaat *16 November 2007.

1 comment:

aiShaH said...

Masyarakat baru mula nampak kepentingan sains sukan... satu petanda yang baik.. taderla org ingat nak sains sukan hanya melompat di padang